Karangan UPSR : Aku Sebiji Bola

Aku Sebiji Bola


Tidak banyak yang aku tahu tentang tempat asal-usulku. Sebab ketika masih berstatus getah keping aku telah dihantar ke England. Yang aku tahu, di Malaysia sana ramai penduduknya yang berjiwa Scouser walaupun secara zahirnya mereka makan tempoyak dan budu. Kebanyakan dari mereka ini tidak pernah menjejakkan kaki ke Liverpool.

Bukan macam aku. Ketika umur masih getah sekeping aku telah menjejakkan kaki di Liverpool. Kapal yang aku naik dari Pelabuhan Klang selama beberapa bulan akhirnya tiba di Pelabuhan Liverpool. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan kami tidak dirampok oleh lanun-lanun Somalia.

Dari pelabuhan aku telah dibawa ke sebuah kilang di pinggir kota Liverpool. Di sana aku telah dicairkan, dilenyek dan diacu bersama rakan-rakan getah keping yang lain. Dari satu mesin aku masuk ke mesin yang lain. Kami diberikan pewarna merah yang menyala. Aku suka.

Selang beberapa jam, akhirnya aku dan rakan-rakan yang lain telah berubah bentuk dari sekeping getah ke sebiji sfera bulat yang dinamakan bola. Warna kami semua merah menyala. Kalau ikut orang Cina, memang manyak ong!

Seminggu duduk di dalam gudang, aku dan rakan-rakan lain akhirnya menerima kunjungan tetamu. Dua orang Yank bernama Tom Hicks dan George Gillett datang untuk membeli aku dan rakan-rakan. Tapi mengikut pesan Yank berdua itu, sebelum dibeli mereka mahu kami semua dicopkan dengan lambang seekor burung dengan perkataan ‘You’ll Never Walk Alone’ di atasnya.

Aku kurang arif apa motif lambang tersebut. Mungkin satu pertubuhan ajaran sesat barangkali? Persatuan memuja burung kot? Tapi walau apa pun yang pasti aku suka dengan lambang baru yang dicop ke atas badan aku yang berbentuk sfera ini.

Selepas dicop, kami disimpan kembali ke dalam gudang hinggalah tiba hari yang dinantikan. Ya, di pagi Sabtu yang dingin bertarikh 17 Oktober 2009, aku bersama rakan-rakan yang lain telah dibawa keluar dari gudang untuk menaiki sebuah van. Kami meninggalkan kota Liverpool menuju ke destinasi kami yang baru, Sunderland.

Sebetulnya aku kurang pasti tujuan lawatan kami ke sana. Adakah lawatan sambil belajar? Atau lawatan sempena rumah terbuka Deepavali? Di dalam perjalanan aku tertanya-tanya. Seronok tapi berdebar-debar pun ada.

Selang beberapa jam perjalanan, aku akhirnya tiba di sebuah bangunan yang bernama Stadium of Light. Akhirnya baru aku tahu tujuan sebenar lawatan ini. Aku bakal dijadikan bola untuk satu perlawanan bolasepak.

Gembiranya rasa hati, Tuhan saja yang tahu.

Bersama rakan-rakan yang lain, kami dibawa masuk ke dalam stadium. Tapi harapan aku untuk dijadikan bola perlawanan dan disepak terajang oleh 22 lelaki di atas padang terbantut. Aku tidak dimasukkan ke dalam padang, sebaliknya di letak di satu bahagian stadium yang dikhususkan untuk Scousers dari Liverpool.

Apa barang? Jatuhlah status aku sebagai sebiji bola yang berwarna merah dan bercopkan seekor burung dengan kata hikmah ‘You’ll Never Walk Alone’.

Jiwa aku sedikit kacau. Sedih bercampur hiba. Hajat di hati mahu jadi bolasepak tapi rupa-rupanya taraf aku hanyalah sekadar bola suka-suka, dilambung-lambung, ditepuk-tepuk dan dilonjak-lonjak oleh sekumpulan Scousers yang mabuk Carlsberg. Aku pasrah.

Tapi bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki tuah bola pastinya warna merah menyala. Sedang aku dilambung-lambung akhirnya aku jatuh ke tangan seorang budak lelaki Scouser yang sangat teruja. Aku bajet, budak seekor ini baru kali pertama menjejakkan kaki di stadium.

Aku kenyit mata dan berikan satu bisikan jahat kepada budak Scouser ini. Aku suruh dia campak aku masuk ke dalam padang. Budak Scouser yang bebal ini akur dengan hasutan jahat aku. Rilek-rilek dia lambung aku masuk ke dalam padang.

Wah, aku teruja. Tiba-tiba aku sudah berada di dalam padang. Betul-betul depan seorang mamat berbaju kuning yang kepalanya botak dan bulat. Kepala dia sebiji bentuknya macam aku. Nama dia Pepe Reina rasanya.

Aku senyum kat Pepe Reina. Dia buat tidak endah. Sombong. Baghal. Tapi aku buat dek. Orang tak suka, aku pun tak sudi.

Sedang aku meloncat-loncat seronok di depan Reina itu, tiba-tiba aku nampak kelibat seorang lelaki berkulit hitam dengan sebiji bola putih di kakinya. Ada kawan! Aku teruja.

Bola putih yang bernama Nike T90 Ascente itu terbang menuju ke arahku. Mungkin dia pun seronok jumpa kawan di tengah padang. Kami berdua tersenyum dari jauh. Semakin lama dia semakin hampir. Laju pula terbangannya. Tiba-tiba aku gelabah, mamat ni takde brek ke?

Kami bertembung. Bola putih itu terbang ke bahagian kiri mamat botak bernama Reina sementara aku pula terbang ke bahagian kanan.

Kawan baru aku, si bola putih itu, terus masuk ke dalam gawang gol. Aku pula kerana sedikit gemuk tetapi ringan terbang perlahan-lahan ke luar padang. Tapi sebelum jatuh di luar padang aku sempat jeling pada mamat botak bernama Reina itu. Dia renung ke arah aku, bukan bola putih.

Hehe, walaupun gemuk tapi warna merah menyala aku tetap menjadi daya penarik. Bukan setakat Reina, malah lensa kamera DSLR dan juga kamera televisyen semua fokus kepada aku. Berbilion penduduk dunia menyaksikan aku secara langsung. Dari United Kingdom hinggalah ke Felda Bukit Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan, Malaysia.

Esoknya, gambar aku termpampang di dada-dada akhbar seluruh dunia. Dari mamat mabuk Carslberg yang kecewa di sebuah pub di kota Liverpool hinggalah ke pengadil-pengadil EPL yang diiktiraf FIFA, semua orang bercakap pasal aku. Dalam sekelip mata, aku jadi terkenal.

Akhirnya, barulah aku faham maksud tersirat kata-kata yang tertera di atas badan bulat aku ini. Ya, aku kini tidak lagi keseorangan, seluruh dunia sudah kenal siapa aku.

‘You’ll Never Walk Alone’. Aku percaya. Aku ialah sebiji bola. Yang tidak lagi keseorangan.
(894 patah perkataan)

0 comments: